HLB Priority tumpu nasihat kewangan, gaya hidup eksklusif - Utusan Malaysia

HLB Priority tumpu nasihat kewangan, gaya hidup eksklusif

KEVIN Lam (tengah) ketika memperkenalkan pakaian seragam HLB Priority baharu sebagai sebahagian daripada identiti jenama HLB Priority yang diperbaharui.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) menjenamakan semula segmen pengurusan kekayaan pelanggan affluen kepada HLB Priority sebagai langkah strategik beralih daripada pendekatan berasaskan produk kepada model nasihat menyeluruh yang lebih diperibadikan.

Transformasi itu bertujuan membantu pelanggan mencapai lima matlamat utama pengurusan kekayaan iaitu pemeliharaan aset, penjanaan pendapatan, pertumbuhan, kepelbagaian dan legasi, selaras perubahan keperluan serta aspirasi pelanggan bernilai tinggi.

Langkah berkenaan menyusuli beberapa pencapaian strategik HLB sebelum ini termasuk kerjasama dengan firma pengurusan kekayaan global, Lombard Odier serta pengukuhan tawaran patuh syariah melalui Hong Leong Islamic Bank (HLISB).

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, penjenamaan semula itu menjadi antara pemacu utama di bawah Pelan Transformasi tiga hingga lima tahun bank berkenaan, dengan segmen pengurusan kekayaan serantau dijadikan enjin pertumbuhan jangka panjang.

“Ketika Malaysia memasuki era pemindahan kekayaan antara generasi, golongan individu bernilai bersih tinggi semakin memerlukan perkhidmatan nasihat yang lebih sofistikated dan bernilai tambah.

“Kami beralih secara sengaja kepada model dipacu nasihat dan bukan lagi sekadar perbankan transaksi. Pengurusan kekayaan kini tidak boleh dilihat sebagai perkhidmatan sampingan, sebaliknya pemacu utama pertumbuhan serta penyumbang penting kepada pendapatan bukan faedah bank,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, HLB Priority dibangunkan sebagai lanjutan menyeluruh kepada keperluan hidup pelanggan, dengan gabungan penyelesaian kewangan institusi, khidmat nasihat peribadi serta keistimewaan gaya hidup eksklusif.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan HLB, Jeffrey Yap berkata, pelanggan affluen masa kini bukan sahaja membina portfolio besar, malah menitikberatkan perancangan legasi yang tersusun dan tepat.

“Mereka tidak lagi mencari tempat menyimpan modal semata-mata, sebaliknya rakan strategik yang membantu menjimatkan masa dan mengurus kerumitan gaya hidup serta kewangan.

“Kami menyepadukan sokongan gaya hidup dengan nasihat kewangan, termasuk akses kepada pakar perubatan bertaraf dunia dan kemudahan rentas sempadan, supaya pelanggan boleh menumpukan kepada perkara yang lebih penting,” katanya.

Sebagai sebahagian pembaharuan itu, HLB Priority memperkenalkan teras baharu ‘Health is Wealth’ menerusi kerjasama dengan Asia OneHealthcare (A1Health), penyedia perkhidmatan kesihatan swasta utama di Asia Tenggara.

Melalui kerjasama tersebut, pelanggan boleh mendapatkan akses kepada saringan kesihatan, rundingan pakar dan program kesedaran kesihatan mengikut keperluan peringkat kehidupan masing-masing.

Selain itu, pelanggan turut mendapat akses kepada penyelesaian mobiliti serantau dan pelbagai mata wang HLB, meliputi Malaysia, Singapura, Vietnam, Kemboja, Hong Kong dan China bagi menyokong keperluan gaya hidup global.

HLB juga akan memperkenalkan identiti jenama baharu HLB Priority merentasi semua titik sentuhan termasuk bahan komunikasi premium dan pakaian seragam kakitangan, di samping menaik taraf pusat Priority di seluruh negara secara berperingkat sehingga Mac 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN