PETALING JAYA: Emas susut mendadak sehingga hampir 20 peratus berbanding paras tertinggi minggu lalu, ketika pelabur mengukur pendekatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memilih Kevin Warsh sebagai calon Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) bagi mengurangkan kadar faedah.
Sehingga pukul 4 petang semalam, emas spot turun pada AS$4,628.30 seauns (RM586.87 segram), selepas jatuh lebih daripada lima peratus lebih awal dalam sesi untuk mencapai paras terendah dalam lebih daripada dua minggu.
Jongkong emas telah mencapai paras tertinggi AS$$5,594.82 (RM22,057.58) pada Khamis lalu.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, kejatuhan harga emas sejak Jumaat berpunca terutamanya daripada pembetulan teknikal selepas kenaikan yang terlalu pantas dan parabolik.
Katanya, ia juga didorong oleh pengukuhan mendadak dolar AS susulan pegumuman Kevin Warsh sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan yang dilihat tegas terhadap inflasi.
“Jangkaan dasar monetari AS yang lebih ketat telah mencetuskan pelarasan posisi besar-besaran, khususnya selepas emas berada dalam zon terlebih beli yang ekstrem, sementara faktor struktur pasaran seperti aktiviti opsyen dan kesan gamma squeeze mempercepatkan kejatuhan.
“Walaupun tekanan penurunan dan ketidaktentuan tinggi berkemungkinan berterusan dalam jangka terdekat, kejatuhan ini lebih mencerminkan pembetulan daripada perubahan asas, dengan peranan emas sebagai lindung nilai masih relevan dalam persekitaran ketidaktentuan global yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ditanya sama ada kejatuhan ini akan memberi kesan kepada mata wang negara, beliau berkata, penyusutan harga emas dijangka tidak memberi kesan ketara kepada ringgit kerana pergerakan mata wang negara lebih dipacu oleh faktor domestik dan serantau.
Katanya, ini seperti asas makroekonomi, aliran perdagangan, kedudukan akaun semasa serta jangkaan dasar monetari.
“Kejatuhan emas lebih mencerminkan pembetulan teknikal dan pengukuhan dolar AS jangka pendek, bukannya perubahan struktur dalam permintaan global terhadap aset selamat.
“Walaupun dolar AS mungkin menunjukkan kekuatan sementara, ia tidak semestinya menekan semua mata wang secara menyeluruh. Bagi ringgit, daya tahan masih disokong oleh pemulihan kitaran Asia, aliran eksport dan kestabilan dasar domestik, menjadikan kesannya terhad dan tidak bersifat langsung,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan harga emas mungkin memberi kesan pada ringgit tetapi pada tahap yang minimum.
Beliau berkata, emas sudah naik terlalu tinggi dan penurunan yang berlaku adalah bersifat pembetulan selain faktor pengumunan pengerusi baharu Fed bagi menggantikan Jerome Powell yang akan menamatkan penggalnya pada Mei ini.
“Mungkin ringgit ada terkesan sikit sahaja dan ringgit akan didagangkan sekitar RM3.93 berbanding dolar AS pada minggu ini. Saya tak rasa akan jatuh sampai cecah RM4.
“Bagi emas pula, saya jangka harga akan stabil sekitar AS$4,550 seauns (RM576.68 gram) pada minggu ini,” jelasnya. – UTUSAN










