MELAKA: Fiesta Budaya Seni Warisan yang berlangsung pada 13 dan 14 Februari lalu menghimpunkan pelbagai elemen seni tradisional dalam usaha menyemarakkan sektor pelancongan negara sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penganjur, Strange Film Sdn. Bhd. itu berkata, program tersebut berjaya menarik ribuan pengunjung tempatan dan luar negara, sekali gus menjadi antara acara kebudayaan yang berpotensi meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini sepanjang penganjurannya.
“Inisiatif ini turut mendapat sokongan agensi pelancongan negara, Tourism Malaysia, sebagai usaha memperkukuh promosi budaya dan warisan tempatan di peringkat antarabangsa serta memperkenalkan keunikan seni tradisional kepada khalayak global.
“Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk pertandingan Dam Aji, busana cantik cilik, aktiviti mewarna, persembahan kebudayaan, Car Free Zone serta pelbagai aktiviti santai komuniti yang sesuai disertai oleh seisi keluarga.
“Festival tersebut juga bakal menampilkan persembahan seni tradisional yang mempamerkan keindahan muzik dan tarian warisan, selain demonstrasi kraftangan serta pameran budaya yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali seni tradisi dengan lebih dekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, jualan makanan tradisional turut menjadi tarikan utama dengan pelbagai hidangan warisan tempatan disediakan oleh pengusaha makanan, sekali gus membuka ruang kepada usahawan kecil memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung.
“Penganjuran fiesta ini adalah antara platform penting dalam memelihara warisan budaya di samping merancakkan ekonomi setempat melalui kehadiran pelancong serta penglibatan penggiat seni tempatan dari pelbagai negeri.
“Ramai pengunjung hadir memeriahkan festival tersebut serta bersama-sama menghargai keunikan seni dan kebudayaan warisan tempatan yang menjadi identiti bangsa dan kebanggaan negara,” ujarnya.










