Express Powerr raih kontrak RM8.3 juta projek pengangkutan awam Sarawak - Utusan Malaysia

Express Powerr raih kontrak RM8.3 juta projek pengangkutan awam Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan sewaan generator, Express Powerr Solutions (M) Bhd memperoleh tiga Surat Setuju Terima (LOA) bernilai keseluruhan RM8.3 juta bagi membekal, memasang, menguji dan mentauliah set janakuasa untuk sebuah projek pengangkutan awam utama di Sarawak.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Express Mission Sdn. Bhd., sekali gus menandakan kemasukan pertama kumpulan ke pasaran Sarawak.

Menurutnya, kontrak tersebut dianugerahkan oleh beberapa kontraktor tempatan yang terlibat dalam kerja pembinaan infrastruktur dan kerja berkaitan di tapak projek berkenaan.

“Sebanyak 21 set generator akan dibekalkan dengan kesemua kontrak dijadualkan siap menjelang 31 Disember 2026,” katanya.

Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata, pencapaian itu merupakan satu penanda penting dalam peluasan geografi syarikat serta mengukuhkan saluran pertumbuhan perniagaan.

“Ini menandakan kemasukan pertama kami ke Sarawak dan menjadi pencapaian penting dalam pengembangan operasi. Sarawak menawarkan potensi jangka panjang yang kukuh, disokong pembangunan infrastruktur berterusan serta pelaburan sektor awam yang tinggi.

“Projek ini juga mengukuhkan langkah peluasan kami di Malaysia Timur selepas memasuki Sabah pada 2024, sekali gus membuktikan keupayaan kami menyokong projek infrastruktur berskala besar dalam pelbagai persekitaran operasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan Sarawak 2026 memperuntukkan dana besar untuk memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam termasuk Sistem Pengangkutan Bandar Kuching dan Transit Aliran Pantas Autonomi (ART), yang mewujudkan permintaan berterusan terhadap penyelesaian bekalan tenaga sementara yang boleh dipercayai.

Katanya, dengan rangkaian luas generator mudah alih dan kanopi yang dimiliki, syarikat berada pada kedudukan baik untuk menyokong projek pembinaan dan infrastruktur di seluruh negeri.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan dan meletakkan Sarawak sebagai pasaran pertumbuhan dalam strategi peluasan kami,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN