GEORGE TOWN : Isu seorang Exco kerajaan negeri yang dikatakan terlibat dalam kejadian memukul isterinya semalam berjaya diselesaikan secara baik apabila kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran pertubuhan Liga Muslim Pulau Pinang di pekarangan Masjid Kapitan Keling di sini, malam ini.
“Saya ada terima mesej daripada Yang Berhormat (Exco yang terlibat) untuk memohon maaf atas perkara yang berlaku ini. Menurut beliau, ini adalah isu keluarga iaitu masalah suami isteri.
“Difahamkan, kedua-duanya telah membuat laporan polis dan memberikan kerjasama yang baik. Kedua-dua pihak juga telah menarik balik laporan tersebut dan setakat itu sahaja yang boleh saya nyatakan buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang membabitkan Exco tersebut termasuk sama ada Exco berkenaan perlu direhatkan atau bertugas seperti biasa buat masa ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, pihaknya tetap memandang serius isu yang berlaku itu dan berharap agar Exco terbabit sentiasa memberi maklum balas kepada beliau atau partinya jika ada perkembangan terkini.
“Kita memang memandang berat, tetapi, pada peringkat ini, kita membiarkan mereka (Exco tersebut dan isterinya) fikirkan apakah tindakan yang akan diambil dan kita menghormati proses itu,” ujar beliau.-UTUSAN










