PELANTIKAN Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN) menandakan era baharu atau transformasi gabungan tersebut yang tampil lebih segar serta kukuh dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ia juga menunjukkan Pas kini sudah bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam mengetuai gabungan politik, sekali gus memberi bayangan Ahmad Samsuri yang berimej teknokrat ditampilkan oleh parti itu sebagai calon Perdana Menteri dari Pas pada PRU16.
Selain itu, Pas yang mendominasi 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah paling banyak dalam kalangan parti politik di negara ini turut mengesahkan akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, memperlihatkan keyakinan parti itu untuk memimpin bukan lagi dipimpin seperti sebelum-sebelum ini.
Langkah Pas menampilkan wajah teknokrat dengan latar belakang profesional kejuruteraan seperti Ahmad Samsuri yang turut berpengalaman dalam pentadbiran serta pendekatan lebih sederhana bakal memberi keyakinan kepada pengundi bandar dan rakyat pelbagai kaum.
Pemilihan Ahmad Samsuri berusia 56 tahun iaitu pemimpin yang lebih muda bagi mengetuai PN akan mengukuhkan lagi sokongan generasi muda dan profesional terhadap gabungan itu.
Ia juga bakal menjadikan Pas atau PN lebih inklusif tanpa mengorbankan identiti asas.
Ahmad Samsuri juga dijangka mampu berperanan menjernihkan semula hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN selain mengembalikan keyakinan rakyat kepada gabungan itu.
Menteri Besar Terengganu itu akan dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai berpengalaman luas, apabila Presiden Bersatu itu kekal sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) PN selepas dilantik sebagai timbalan pengerusi.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri perlu berdepan cabaran awal khususnya berkaitan Bersatu dan bagaimana bentuk kerjasama yang boleh dijalin bersama pasukan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, peranan pertama Ahmad Samsuri ialah perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu Bersatu-Hamzah dalam masa terdekat seterusnya menyediakan hala tuju PRU16.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh pula berkata, pemilihan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN akan memberikan impak besar kepada Pas .
“Keyakinan terhadap Pas akan turut melonjak satu level lagi dengan keputusan memilih profesional yang membawa imej sederhana sebagai Pengerusi PN,” katanya.-UTUSAN










