Enam tahun ceburi industri, Aisha Retno pernah terima ugutan bunuh - Utusan Malaysia

Enam tahun ceburi industri, Aisha Retno pernah terima ugutan bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Enam tahun berada dalam industri muzik, saya pernah terima ugutan bunuh, fizikal dan rupa paras dijadikan bahan ejekan.”

Demikian kata penyanyi Aisha Retno yang berkongsi segala telahan yang diterimanya sepanjang bergelar anak seni termasuklah ugutan bunuh.

Kata Aisha, meskipun dirinya enggan mengambil pusing atas setiap komen negatif yang diterima, namun dirinya tidaklah sekebal yang difikirnya bahkan kalah dengan segala tohmahan yang dilemparkan.

“Enam tahun dalam industri, saya cuba untuk menjadi manusia ‘kebal’, tapi kadang-kadang saya juga terkesan dengan komen-komen negatif.

“Pada akhirnya, kita telahi apa yang orang kata, benar-benar membuat saya rasa tawar hati, sampai saya jadi terlebih fikir tentang apa orang mungkin akan fikir kalau saya muncul di setiap majlis anugerah membuat persembahan seperti ini,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, Aisha turut berkongsi beberapa komen yang ditinggalkan warganet terhadap dirinya.

Pun begitu, penyanyi lagu Sutera itu menganggap segala maklum balas yang diberikan sama ada baik atau pun buruk merupakan asam garam yang perlu dilaluinya sebagai anak seni.

“Selama enam tahun dalam industri pelbagai komen saya terima sebaik sahaja melakukan persembahan di atas pentas. Buruk atau baik saya baca dan hadam.

“Industri muzik begitu banyak membentuk saya agar tidak terlalu terkesan dengan kecaman mahupun pujian. Saya jadikan semua itu sebagai motivasi untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

“Malah, saya sendiri tidak pernah menyesal dengan usaha yang dilakukan walaupun kita sebagai manusia tidak lari daripada melakukan kekurangan,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Dalam masa sama, Aisha turut menyifatkan setiap kecaman melampau yang diterimanya di media sosial boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.

“Kata-kata boleh melukakan dan sangat mematahkan semangat. Kalau mental seseorang tidak cukup kuat, dia mungkin berhenti melakukan apa yang paling dia cintai.

“Mungkin orang menganggap saya sensitif tapi ini demi menjaga bakat-bakat dalam industri kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN