JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengesahkan terdapat enam murid di Kota Tinggi menghidap penyakit Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan yang dilakukan pihak Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, namun setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
“Hasil saringan kontak rapat yang dijalankan Kementerian Kesihatan mendapati empat murid lelaki dan dua murid perempuan disahkan menghidap Tibi.
“Kesemua murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kluster Tuberkulosis di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat
Menurut Aznan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut turun ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.
Katanya, sesi tersebut bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit Tibi selain langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.
“Semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara dengan kerjasama berterusan KKM dan semua pihak berkaitan. – UTUSAN










