PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kereta di tempat awam di Jalan Taman Intan Baiduri, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, dua lelaki berusia 29 dan 24 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan polis kira-kira pukul 2 pagi.
Katanya, anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan mengesan dua lelaki berkenaan dalam sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu gumpalan tisu dipercayai mengandungi cecair di lantai penumpang belakang. Lelaki berusia 29 tahun itu mengaku melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang lagi lelaki dalam kereta berkenaan.
“Semakan ke atas kedua-dua suspek dan kenderaan mendapati tiada rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis bertindak menahan dua lelaki yang bekerja sebagai jurujual dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.
Katanya, kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari sehingga semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.- UTUSAN










