Dua ahli Geng Sojul seludup warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Dua ahli Geng Sojul seludup warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan migran yang menggunakan premis transit di Kuchai Lama, di sini ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) susulan penahanan dua lelaki disyaki ahli ‘Geng Sojul’ berperanan sebagai transporter dekat sini semalam.

Turut ditahan, 20 warga asing yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dijalankan pada 1.30 petang apabila sebuah pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai membawa migran yang diseludup berjaya dipintas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama dekat sini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan enam lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar.

“Susulan penahanan itu, satu serbuan dijalankan terhadap sebuah premis yang disyaki sebagai rumah persembunyian dan transit sindiket di kondominium sekitar Kuchai Lama.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai 12 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di Selatan dan sekitar Lembah Klang ditahan.

“Kesemua ditahan berusia 18 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Disember lalu dengan menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan.

Beliau berkata, warga asing itu kemudiannya akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu.
“Sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap migran yang diseludup.

“Kita percaya mereka sudah mengaut keuntungan sekitar RM1.2 juta sejak beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyita dua kenderaan, beberapa pasport Bangladesh dan wang tunai sebanyak RM82,100 dan mata wang asing AS$3,700 (kira-kira RM14,687.15).

“Warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pasport 1966.

“Kita akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN