KUALA KRAI: Seorang doktor pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan gangguan seksual terhadap seorang wanita serta memiliki bahan lucah, September tahun lalu.
Ahmad Hilmi Zulkeflee, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Amal Razin Alias selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita apabila merakam mangsa yang sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan seunit kamera berwarna hitam miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di bilik mandi Aras 2, Hospital Sultan Ismail Petra di sini kira-kira pukul 6.30 pagi pada 13 September tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki beberapa keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya di bilik 102, Asrama Pelatih Pegawai Perubatan, hospital sama kira-kira pukul 1.30 petang pada 14 September tahun sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Mohd. Azim Che Hamat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa. Mahkamah menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










