IPOH: Sebuah syarikat pemborong minyak diesel didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menjual bahan bakar itu kepada sebuah syarikat tidak memiliki permit atau kelulusan yang sah daripada Pengawal Bekalan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Tan Chia Shern, 33, selaku pengarah Syarikat ZY Sdn. Bhd. membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, Chia Shern selaku orang kena saman (OKS) didakwa menjual diesel sebanyak 16,380 liter kepada sebuah syarikat yang mana pembeli terbabit tidak mempunyai permit atau kelulusan bertulis yang sah oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di GCCP Marble Sdn. Bhd di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh dalam daerah Kinta antara pukul 8 pagi hingga 5 petang pada 15 Ogos 2023.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, N. Shamani manakala OKS diwakili peguam bela, Robin Lim Fang Say.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS serta amaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, Fang Say memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang rendah mengambil kira pengakuan bersalah dibuat OKS telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. – UTUSAN










