50 hari berkahwin, isteri maut selepas suami ajar syahadah

50 hari berkahwin, isteri maut selepas suami ajar syahadah

MOHD. Khairil Md. Rahim menunjukkan gambar perkahwinannya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Machang, Machang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang suami sempat mengajar isteri yang baharu dikahwini 50 hari lalu syahadah sebelum maut selepas kereta yang mereka naiki berpusing dan merempuh sebuah trak pikap di Kampung Banggol Petai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian dan suaminya, Mohd. Khairil Md. Rahim, 22, cedera ringan.

Mohd. Khairil berkata, dia dan isterinya sedang dalam perjalanan pulang dari rumah mentua di Kota Bharu ke rumah mereka di Kampung Slow Bedal, Kuala Krai.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia cuba memotong sebuah motosikal sebelum kereta tersebut berpusing dan merempuh sebuah trak pikap.

“Saya sempat keluar dari kereta untuk membantu isteri tetapi gagal kerana dia tersepit. Saya memegang tangan arwah dan sempat mengajarnya dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Sebelum kemalangan itu, saya sempat membantu seorang penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 50-an yang terlibat nahas di Wakaf Siku, Kota Bharu. Saya berseloroh dengan rakan lelaki itu bahawa saya pula akan mati selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Machang di sini, hari ini.

Mohd. Khairil yang bekerja secara dalam talian berkata, selepas membantu kemalangan motosikal itu, isterinya pula bercakap tentang kematian dan arwah meminta supaya dia memberi kasih sayang sepenuhnya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, mereka pula terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan isterinya hilang dalam sekelip mata.

“Sebelum ini, isteri ada membeli alat ujian kehamilan dan dia kelihatan sangat gembira selepas membuat ujian tersebut. Arwah bagaimanapun tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia hamil atau sebaliknya.

“Pertanyaan saya itu akhirnya terjawab hari ini apabila pihak hospital mengesahkan arwah isteri tidak hamil selepas proses bedah siasat dijalankan,” ujarnya.

Mohd. Khairil berkata, jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chap, Bekelam, Bachok selewat-lewatnya petang ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Syauqi Afiq Che Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.01 pagi sebelum anggota bomba ke lokasi kemalangan.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta itu sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN