PUTRAJAYA: Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menghalang atau menyekat sebarang kegiatan keagamaan, namun ia perlu berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara hukum dan semua pihak dikehendaki mematuhi apa sahaja yang ditetapkan undang-undang.
“Sepertimana kuil-kuil hindu, sembahyanglah sebanyak mana nak dia (mereka) pun. Buatlah kuil di mana pun tapi ikut peraturan. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana sahaja, tak boleh.
“Ada yang jawab surau di mana-mana, boleh pula buat. Itu tak betul (kata begitu). Saya tahu dalam sejarah kita, surau di Perak pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan. Jadi, saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pihak yang terbabit dalam kegiatan dakwah supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya terlibat juga dalam kegiatan-kegiatan dakwah dulu. Tapi, kalau nak buat dakwah jangan mengganggu lalu lintas dan ikut peraturan.
“Buatlah dakwah, tak ada sekatan sama sekali tapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya terperangkap dalam pertikaian berpanjangan kerana perpecahan sedemikian hanya akan melemahkan usaha membina sebuah negara.
Beliau melahirkan kebimbangan jika wujud usaha tertentu untuk melemahkan dan mengkhianati prestasi negara yang kini pada landasan positif serta peningkatan membanggakan.
“Saya bimbang kalau-kalau ada usaha melemah dan mengkhianati. Banyak yang cemburu dari dalam dan luar negara, tidak boleh terima kenyataan kita sedang meningkat baik,” katanya
Sementara itu, Anwar berkata, sebarang aduan terhadap pegawai kerajaan mestilah disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.
Katanya, kerajaan juga tidak boleh menghukum seseorang atas disebabkan individu itu tidak disenangi segelintir pihak dan secara tergopoh-gopoh.
“Dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang. Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah kerana proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.
Anwar berkata, tindakan terhadap sebarang kelemahan atau salah laku perlu dibuat secara adil dan berasaskan siasatan terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat.
“Tetapi bagi saya, saya tidak fikir saudara akan bekerja kalau seorang Perdana Menteri itu terus hukum. Belum siasat, mesti hukum dulu. Saya tidak pilih jalur (tindakan) itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, kita ikut hukuman. Tapi jangan kita gugup,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.-UTUSAN









