PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) mengumumkan pelantikan Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 April 2026.
Beliau menggantikan Alan Lau Chee Kheong, yang akan bersara setelah menabur bakti selama 43 tahun bersama institusi perbankan terbesar di Malaysia tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata, pelantikan ini mencerminkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman serta dasar pengurusan bakat bank dalam memperkukuh kepimpinan organisasi.
“Pengalaman luas Bee Geok akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi Kumpulan selaras dengan strategi ROAR30.
“Beliau juga akan terus menerajui transformasi operasi cawangan di Malaysia serta proses usaha wajar pelanggan, selain menyelia perpindahan ke ibu pejabat baharu Maybank,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Sri Khairussaleh turut merakamkan penghargaan kepada Alan Lau atas komitmen dan sumbangan besarnya dalam memperkukuh kedudukan Maybank sebagai institusi perbankan terkemuka di ASEAN menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Bee Geok, 53, akan melapor terus kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan serta menyertai Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan.
Dalam peranan baharunya, beliau akan menerajui operasi Kumpulan secara menyeluruh merangkumi perdagangan, perbendaharaan dan pembayaran, dengan fokus memperkukuh pengalaman pelanggan serta menyokong pertumbuhan perniagaan di seluruh ASEAN.
Ini termasuklah dalam bidang pengurusan kekayaan, pembayaran, perbankan transaksi serta perbankan korporat dan pelaburan.
Beliau mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam industri perbankan yang merangkumi bidang kewangan, pengurusan risiko, operasi dan transformasi.
Sepanjang lebih sedekad bersama Maybank, Bee Geok telah menerajui pelbagai program berskala besar yang memberi impak signifikan dalam meningkatkan ketahanan serta keupayaan operasi Kumpulan.
Pengalaman beliau juga merangkumi usaha transformasi perbankan menyeluruh di bawah strategi M25+, selain mengetuai pelaksanaan penyelesaian perdagangan digital merentas Malaysia, Singapura dan Indonesia yang berjaya memperkemas proses operasi bank tersebut. –UTUSAN










