China bangunkan senjata nuklear baharu - Utusan Malaysia

China bangunkan senjata nuklear baharu

PELURU berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam nuklear China dipamerkan di Dataran Tiananmen, Beijing, tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) percaya China sedang membangunkan generasi baharu senjata nuklear dan sudah menjalankan sekurang-kurangnya satu ujian letupan secara rahsia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beberapa sumber yang arif mengenai penilaian perisikan AS, pembangunan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mentransformasikan sepenuhnya keupayaan senjata nuklearnya menjadi yang paling maju dari segi teknologi di dunia.

Penilaian AS mengenai hasrat China untuk meningkatkan keupayaan itu mencetuskan perdebatan dalam komuniti perisikan dan masyarakat luar sama ada berlaku perubahan dalam pendirian Beijing terhadap strategi nuklearnya, 

Pelaburan dalam keupayaan nuklear itu didakwa mendorong Beijing semakin hampir mencapai status setanding dengan Russia dan AS selain berpotensi menghasilkan keupayaan teknikal yang ketika ini tidak dimiliki oleh dua kedua-dua negara tersebut.

Menurut sumber dan kenyataan terkini pegawai AS, China menjalankan ujian letupan nuklear secara rahsia pada Jun 2020 di kemudahan Lop Nur di barat laut negara itu.

Ujian itu dilakukan meskipun terdapat moratorium terhadap aktiviti sedemikian sejak 1996 dan merancang untuk melaksanakan lebih banyak ujian pada masa depan.

Walaupun ujian 2020 itu didedahkan kepada umum bulan ini oleh pegawai Jabatan Negara AS, tujuan sebenar ujian itu sebelum ini tidak pernah diketahui umum.

Bukti yang dikumpulkan dalam semakan susulan terhadap insiden Jun 2020 mendorong pegawai AS membuat kesimpulan ujian tersebut didorong usaha China membangunkan senjata nuklear generasi akan datang. 

Ini termasuk usaha membangunkan sistem persenjataan tambahan yang mampu membawa beberapa kepala peledak nuklear bersaiz mini daripada sebuah peluru berpandu.

Jelas sumber itu, China juga sedang membangunkan senjata nuklear taktikal berkuasa rendah yang tidak pernah dihasilkannya sebelum ini dan boleh digunakan terhadap sasaran lebih dekat dengan wilayahnya.

China sebelum ini dilaporkan secara terbuka oleh pegawai perisikan AS sebagai giat memperluas tapak nuklearnya, dengan penganalisis mengesyaki negara itu mungkin mengejar teknologi baharu. 

Kini, pegawai AS percaya terdapat bukti kukuh yang menyokong teori tersebut, sebahagiannya berdasarkan maklumat diperoleh daripada ujian 2020 itu.

China memiliki keupayaan nuklear sejak 1964 dan menghasilkan kepala peledak pada kadar lebih pantas berbanding mana-mana negara lain.

Bagaimanapun, skala keupayaannya masih jauh lebih kecil berbanding Russia dan AS yang terus memiliki sebahagian besar senjata nuklear dunia.

Sementara itu,, jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu bagaimana pun memberitahu laman berita  CNN, AS cuba memutar belit fakta dan mencemarkan dasar nuklear China.

“Ini adalah manipulasi politik bertujuan mengejar hegemoni nuklear dan mengelakkan tanggungjawab pelucutan senjata nuklearnya sendiri. China menentang keras naratif sedemikian,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN