PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial, Caprice memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, tindakan itu dibuat selepas Rafizi didakwa gagal memohon maaf serta menurunkan hantaran media sosial berhubung tuduhan bahawa beliau telah memfitnah Ahli Parlimen Pandan itu seperti diperincikan dalam dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari 2026.
“Saya ingin menekankan bahawa ketika podcast Rafizi yang disiarkan pada 20 Februari 2026, beliau tidak sama sekali menafikan hubungan perniagaan bersama Lee Choo Boo, Ketua Pegawai Eksekutif Itramas Corporation yang pada suatu ketika pernah memegang saham dalam syarikat Invoke.
“Beliau juga tidak menafikan penglibatan dalam projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang telah dianugerahkan kepada Itramas Corporation semasa beliau menjadi Menteri Ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Caprice, dalam saman tersebut beliau menuntut, antara lain, ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf serta injunksi terhadap Rafizi.
Caprice berkata, beliau bakal menyerahkan saman tersebut kepada Rafizi, esok menerusi peguamnya, Mohd. Rezan Ezra.
“Melalui saman fitnah ini, saya berharap nama baik saya dapat dibersihkan daripada fitnah yang telah dilontarkan oleh Rafizi, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










