KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan kempen Cabutan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2026 bagi edisi tahun ini dengan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM1.4 juta untuk dimenangi oleh 954 pemenang bermula 1 Januari 2026.
Kempen anjuran PTPTN itu merangkumi tiga cabutan istimewa, iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 bagi kategori tahunan, Cabutan WOW! Plus Siri serta Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! yang menyasarkan penyertaan generasi muda.
Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 akan berlangsung sepanjang tahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember , manakala Cabutan WOW! Plus Siri dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Siri 1 dari 1 Januari hingga 30 April , Siri 2 dari 1 Mei hingga 31 Ogos dan Siri 3 dari 1 September hingga 31 Disember.
Sementara itu, Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! dilaksanakan menerusi dua pusingan, iaitu Slay 1 bermula 1 Januari hingga 31 Mac dan Slay 2 dari 1 April hingga 30 Jun.
Lebih menarik kali ini, Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 bagi kategori tahunan menawarkan hadiah utama iaitu sebuah kereta Honda CR-V 1.5L E dan tempat kedua pula menyediakan kereta Perodua Ativa 1.0L Turbo AV untuk dua pemenang, manakala tempat ketiga menawarkan wang tunai RM30,000 kepada tiga pemenang.
Selain itu, seramai 250 pemenang turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000.

Bagi Kategori Cabutan WOW! Plus Siri pula, hadiah utama yang ditawarkan ialah wang tunai RM20,000 untuk seorang pemenang dan tempat kedua menyediakan wang tunai RM15,000 kepada dua pemenang, diikuti tempat ketiga dengan wang tunai RM10,000 untuk tiga pemenang.
Seramai 50 pemenang bagi setiap siri cabutan juga turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM500.
Sementara itu, Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha NVX 155 kepada seorang pemenang. Tempat kedua pula menyediakan telefon pintar iPhone 17 Pro untuk empat pemenang, manakala tempat ketiga menawarkan DJI Osmo Pocket 3 Creator Combo kepada 10 pemenang.
Hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 juga menanti 250 pemenang bagi setiap siri.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, buat julung kalinya PTPTN memperkenalkan Cabutan Simpan SSPN Baharu Slay! bagi menarik minat penyertaan golongan generasi muda.
Menurut beliau, cabutan tersebut terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus berusia antara 16 hingga 29 tahun yang membuka akaun baharu atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen.
“Pendeposit juga perlu melakukan transaksi simpanan menerusi aplikasi myPTPTN bagi melayakkan penyertaan dalam cabutan berkenaan.
“Sambil menabung, rebutlah peluang menyertai Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung sepanjang tahun. Saya berharap kempen ini mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Dengan sokongan semua pihak, bukan sahaja Simpan SSPN dapat diperkukuh sebagai instrumen simpanan pendidikan utama negara, malah ia turut membantu membentuk generasi yang lebih bersedia, berdaya tahan dan berilmu, selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Pada Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 di Kuala Lumpur, Khamis lalu, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Cabutan WOW! Tahunan dan Cabutan Siri WOW!
Superheroes.
Bagi Cabutan WOW! Tahunan, pemenang Hadiah Utama bagi Kategori Platinum dan Kategori Gold masing-masing membawa pulang sebuah kereta Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line dan Honda Civic 1.5L RS.
Sementara itu, seorang pemenang utama Cabutan Siri WOW! Superheroes pula berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.
Pemenang Utama kategori Platinum, Umi Kalsum Abd. Razak, 56, yang merupakan ibu tunggal kepada enam orang anak mengakui tidak menyangka namanya terpilih sebagai penerima hadiah utama.
Menurutnya, amalan menabung itu bermula sejak arwah suaminya masih hidup, sekitar tahun 2019, demi memastikan masa depan pendidikan enam orang anaknya terjamin.
“Saya cuma teruskan apa yang arwah suami buat untuk anak-anak. Ada yang saya simpan RM300 sebulan, ada seorang RM500 sebulan,” katanya.
Bekas guru Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman itu turut menasihatkan ibu bapa supaya menabung secara konsisten untuk pendidikan anak-anak kerana simpanan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada anak, malah kepada ibu bapa sendiri.
“Menabung dengan PTPTN ini anda tidak rugi. Apa yang saya dapat hari ini juga boleh dimiliki oleh semua orang.Jika konsisten bukan sahaja cabutan hadiah, tetapi banyak manfaat lain seperti pelepasan cukai dan simpanan untuk pendidikan,” katanya.
Selain itu, pemenang tempat kedua kategori Platinum, Mohammed Firdhaus Nawawi, 46 berkata, beliau telah membuat simpanan SSPN sejak lebih 15 tahun lalu demi masa depan pendidikan anak-anaknya.
“Saya mula menyimpan sejak anak sulung masih kecil, sekarang anak sulung saya sudah berusia 20 tahun. Jadi untuk setiap anak memang ada akaun Simpan SSPN sendiri,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor utama memilih Simpan SSPN ialah kerana simpanan tersebut dikhususkan sepenuhnya untuk pendidikan anak-anak, selain menawarkan pelbagai kelebihan seperti pelepasan cukai dan cabutan hadiah.
Mohammed Firdhaus turut menasihatkan ibu bapa supaya menabung secara konsisten walaupun dengan jumlah kecil kerana kos pendidikan semakin meningkat.
“Masa depan semakin mencabar dan kos pendidikan anak-anak makin tinggi. Jadi ibu bapa perlu ada rasa tanggungjawab untuk menyediakan simpanan bagi setiap anak,” katanya.
Bagi pemenang kedua kategori Gold, Evita Ang Yen Yen, 28 berkata, dia membuka akaun Simpan SSPN ketika masih belajar bagi tujuan pembiayaan PTPTN pada tahun 2017.
Menurutnya, selepas mula bekerja, dia meneruskan simpanan secara konsisten dalam Simpan SSPN kerana menganggapnya sebagai salah satu platform terbaik untuk menyimpan wang.
“Simpan SSPN menawarkan pulangan dividen yang baik. Tahun lalu, kadar dividennya sekitar 4.05 peratus dan pada masa sama turut memberi kelebihan pelepasan cukai,” katanya.
Evita berkata, pada awalnya beliau menyimpan dalam Simpan SSPN dengan hasrat untuk menabung bagi membeli kereta.
Namun, kemenangan sebuah Toyota Vios menerusi cabutan bertuah itu disifatkan sebagai satu kejutan yang amat menggembirakan dan memenuhi keperluan peribadinya.
Bagi menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen. Setiap simpanan bersih RM50, termasuk simpanan dan takaful, melayakkan pendeposit menerima lima penyertaan cabutan secara automatik.
Pendeposit yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus pula akan menikmati penyertaan berganda sebanyak 10 cabutan, sekali gus meningkatkan peluang untuk memenangi hadiah.
Untuk maklumat lanjut mengenai PTPTN dan kempen Simpan SSPN, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.ptptn.gov.my-UTUSAN










