KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak barangan kemas milik seorang wanita sehingga menyebabkan mangsa cedera dalam kejadian di Kampung Gelong Gajah, Machang, dekat sini, bulan lalu.
Ahmad Nazmi Ahmad Ismail, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Nazmi didakwa melakukan rompakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Hafizah Mat Ali, 58, di sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira pukul 7.15 pagi, 20 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk prosiding jatuh hukuman.
Mengikut fakta kes, mangsa masuk ke bilik utama rumah selepas memberi ayam ternakan makan sebelum kepalanya dipegang dan muka ditekup oleh tertuduh yang memakai topi selain menutup muka dengan kain.
Tertuduh menyuruh mangsa duduk sebelum memijak tangan wanita itu dan menarik dua gelang emas yang dipakai di tangan kiri wanita itu. Tertuduh juga menarik seutas rantai leher emas dan dua loket emas pada leher mangsa.
Sebelum melarikan diri, tertuduh menutup mulut dan mengikat tangan mangsa di kaki katil dengan menggunakan kain. Mangsa membuat laporan sebelum polis menahan tertuduh kira-kira pukul 1.35 petang pada hari yang sama. – UTUSAN










