KOTA BHARU: Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan bapanya menggunakan kayu, Isnin lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid selepas tertuduh, Yusmainy Husain, 48, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapa kandungnya, Husain Mahmood, 78, di Kampung Pauh, Pengkalan Chepa di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, Yusmainy yang mahu mengambil sebuah motosikal bertindak memarahi Husain dengan berkata ‘menatang ni’ sebelum bapanya itu mengeluarkan kata-kata sama.
Keadaan itu menyebabkan Yusmainy turun daripada motosikal sebelum mengambil sebatang kayu dan memukul bapanya sehingga lebam pada tangan kiri. – UTUSAN










