Bukan pampasan

Bukan pampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penentuan jajaran sempadan antara Malaysia dan Indonesia di Sabah dan Kalimantan tidak berpandukan pampasan, timbal balik atau untung rugi seperti yang didakwa oleh sesete­ngah pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, ia berasaskan konvensyen antarabangsa, undang-undang dan perjanjian dimeterai, termasuk dua konvensyen dan satu perjanjian utama bagi ke­seluruhan sempadan Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia melibatkan Konvensyen Persempadanan 1891 antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak, Perjanjian Persempadanan 1915 antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda khusus bagi Sabah serta Konvensyen Persempadanan 1928 yang ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928 bagi sebahagian kecil sektor di Sarawak.

“Bagi kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai yang menjadi isu ketika ini, penentuan jajaran sempadan adalah berdasarkan Konvensyen Persempadanan 1891 dan Perjanjian Persempadanan 1915,” katanya pada sesi penerangan khas berhubung isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat semalam.

Perdana Menteri berkata, prinsip utama yang terkandung dalam perjanjian itu menetapkan penentuan kawasan adalah berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai pada garis latitud empat darjah 20 minit (4°20’) utara.

Anwar berkata, kawasan utara garis latitud 4°20’ utara adalah di bawah British North Borneo (Sabah), ma­nakala di kawasan selatan garis latitud sama berada di bawah Belanda (Indonesia).

Beliau berkata, kerja-kerja persempadanan bersama Malay­sia dan Indonesia dimulakan sejak 1977 dan berdasarkan peta terkandung dalam perjanjian tahun 1915 itu, kedudukan muara Sungai Sinapad dan Sungai Sesai berada di selatan garis latitud 4°20’ utara.

Hasil pengukuran bersama di lapangan mendapati muara sebenar Sungai Sinapad sebenar­nya bermuara di utara garis latitud 4°20’ utara dan bukannya di selatan seperti yang ditunjukkan dalam peta asal.

“Berdasarkan dapatan tersebut, pada pandangan Malaysia semua lembangan sungai yang bermuara di utara garis latitud 4°20’ utara, milik Malaysia,” katanya.

Kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana kawasan tersebut merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.

Jumlah keseluruhan sempa­dan darat antara Malaysia dan Indonesia dianggarkan sepanjang 2,064 kilometer (km) yang dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sabah-Kalimantan Utara dianggarkan sepanjang 419.4 km dan sektor Sarawak-Kalimantan Barat sepanjang 1,644.6 km.

Anwar berkata, hanya pengukuran sempadan sektor Kalimantan Utara dimuktamadkan, melibatkan dua OBP iaitu Pulau Sebatik dan Sungai Sinapad-Sungai Sesai dalam kawasan OBP B2700-B3100.

“Bagi OBP Pulau Sebatik, kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula oleh pasukan ukur bersama kedua-dua negara dijalankan Februari hingga November 2019 dan hasil pengukuran mendapati jarak muktamad dari East Pillar ke New West Pillar 23.842 km.

“Sementara bagi OBP Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, kerja siasatan, penandaan, pengukuran yang dibuat sekali di antara pegawai-pegawai pemetaan Indonesia dan Malaysia dilakukan sehingga Ogos 2022 dan Oktober 2023. Itu jarak muktamad 11,545 km,” katanya.

Hasil pengukuran dan penan­daan semula sempadan Malaysia dan Indonesia bagi OBP di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai membolehkan Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.

Tambahan kawasan itu menjadikan Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas kini berada dalam wilayah Malaysia.

“Jadi tiga-tiga itu dimasuk ke Sabah, dakwaan Malaysia menye­rah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan tiga kampung di kawasan Nunukan, tidak benar dan penipuan kalau pun tiada niat jahat sama sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN