KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil di sini semalam ditemukan meninggal dunia malam tadi.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, mangsa, Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul, 11, ditemukan terdampar di pesisir pantai pada pukul 10.26 malam.
“Mangsa kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kecemasan pada pukul 1.30 petang memaklumkan tiga kanak-kanak dipercayai lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
Dua daripada mangsa yang merupakan adik beradik iaitu Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, dan adiknya, Arman Hanif, 11, merupakan sepupu kepada Putra Aniq Fairuz telah diselamatkan nelayan dan orang awam.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, kesemua mangsa berkunjung ke pantai tersebut bersama-sama ahli keluarga mereka.
“Semasa kejadian, tiga-tiga mangsa sedang mandi sebelum dihanyutkan arus air laut yang deras, dua daripada mereka iaitu adik beradik berusia 11 dan 16 tahun berjaya diselamatkan,” katanya. – UTUSAN










