BN tidak campur urusan parti lain - Zambry - Utusan Malaysia

BN tidak campur urusan parti lain – Zambry

ZAMBRY Abd. Kadir menyantuni pesakit sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan parti terbabit untuk mencari jalan penyelesaian.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, di peringkat parti, pihaknya tidak mahu dilihat campur tangan atau terlibat dalam kemelut yang sedang melanda parti berkenaan.

“Sebarang langkah yang mereka mahu ambil, kita serahkan kepada mereka. Tidak wajar ketika mereka dalam keadaan berantakan, kita perlu datang sama ada untuk melakukan langkah-langkah menyelamat atau memberi ruang.

“Biarlah mereka selesaikan sesama mereka terlebih dahulu dan mereka juga tentunya ada perancangan-perancangan tersendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pesakit sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung, di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi diiringi Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr. Gridhari Nath Gingaiah melawat wad perubatan dan mengedarkan sumbangan kepada pesakit, pelawat dan warga hospital.

Mengulas sama ada terdapat ura-ura ahli Bersatu ingin kembali menyertai UMNO susulan krisis yang melanda parti berkenaan, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, perkara itu sering menjadi bahan perbualan banyak pihak.

Menurut beliau, dalam suasana politik semasa, sememangnya pelbagai spekulasi timbul termasuklah dakwaan kononnya terdapat pemimpin tertentu untuk mendekati BN khususnya UMNO.

“Macam-macam kita dengar. Tetapi pada peringkat ini, sepertimana disebutkan Presiden kami (UMNO) (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), kita mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri masalah mereka,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada isu tersebut dibincangkan di peringkat kepimpinan BN, Zambry berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan semasa.

“Sebagai sebuah parti politik, mustahil untuk kita pejam mata dan pekak telinga terhadap apa yang berlaku. Sudah tentu kita memerhati dan mengikuti perkembangan yang sedang mereka alami ketika ini,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Pemecatan itu melibatkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut, selain tiga lagi Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tiga Ahli Parlimen lain yang turut dipecat ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Dua ADUN yang dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd. Yadzil Yaakub.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli, termasuk pembubaran beberapa Bahagian Bersatu di beberapa negeri yang rata-ratanya dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN