BN tidak campur tangan krisis dalaman Bersatu

BN tidak campur tangan krisis dalaman Bersatu

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan sumbangan kepada pesakit sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan parti terbabit untuk mencari jalan penyelesaian.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya tidak mahu dilihat campur tangan atau terlibat dalam kemelut yang sedang melanda parti berkenaan.

“Sebarang langkah yang mereka mahu ambil, kita serahkan kepada mereka. Tidak wajar ketika mereka dalam keadaan berantakan, kita perlu datang sama ada untuk melakukan langkah-langkah menyelamat atau memberi ruang.

“Biarlah mereka selesaikan sesama mereka terlebih dahulu dan mereka juga tentunya ada perancangan-perancangan tersendiri,” katanya ditemui pemberita selepas menyantuni pesakit sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung, di sini semalam.

Mengulas sama ada terdapat ura-ura ahli Bersatu ingin kembali menyertai UMNO susulan krisis yang melanda parti berkenaan, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, perkara itu sering menjadi bahan perbualan banyak pihak.

Menurut beliau, dalam suasana politik semasa, sememangnya pelbagai spekulasi timbul termasuklah dakwaan kononnya terdapat pemimpin tertentu untuk mendekati BN khususnya UMNO.

“Macam-macam kita dengar. Tetapi pada peringkat ini, sepertimana disebutkan Presiden kami (UMNO) (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), kita mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri masalah mereka,” katanya.

Ditanya sama ada isu tersebut dibincangkan di peringkat kepimpinan BN, Zambry berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan semasa.

“Sebagai sebuah parti politik, mustahil untuk kita pejam mata dan pekak telinga terhadap apa yang berlaku. Sudah tentu kita memerhati dan mengikuti perkembangan yang sedang mereka alami ketika ini,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut bersama tiga Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tiga Ahli Parlimen lain yang turut dipecat ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).

Dua ADUN yang dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd. Yadzil Yaakub.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli, termasuk pembubaran beberapa Bahagian Bersatu di beberapa negeri yang rata-ratanya dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN