Biar Bersatu urus rumah tangga sendiri - Saifuddin

Biar Bersatu urus rumah tangga sendiri – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail pada Majlis Berbuka Puasa, Dialog dan Moreh MPN PKR Kedah Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: PKR tidak akan menjadikan kekalutan melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai modal untuk meraih kekuatan politik.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekuatan sesebuah parti perlu dibina hasil pengukuhan dalaman, kesepaduan kepimpinan dan kerjasama kukuh dalam gabungan.

“Kita tak akan jadi kuat hanya kerana mereka berpecah. Kita akan jadi kuat kalau kita sendiri bina kekuatan. 

“Biar mereka urus rumah tangga mereka, kita jaga parti kita, kukuhkan gabungan dan pastikan rakyat terus yakin,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa, Dialog dan Moreh MPN PKR Kedah di sini malam semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, apa yang berlaku terhadap Bersatu adalah urusan parti itu dan PKR tidak akan mengambil kesempatan atas konflik yang melanda pihak lawan.

Saifuddin berkata, fokus PKR ketika ini adalah untuk memperkukuh organisasi parti, memantapkan gerak kerja dan mengeratkan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hubungan baik dan kesefahaman politik dengan rakan dalam Barisan Nasional (BN) juga perlu terus diperkukuh sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah berkata, kestabilan politik dinikmati kerajaan hari ini memberi kesan positif kepada prestasi ekonomi negara.

Katanya, pertumbuhan ekonomi negara bagi tiga bulan terakhir tahun lalu mencatatkan 6.3 peratus, melepasi sasaran awal ditetapkan iaitu lima peratus.

“Pencapaian itu hasil kepimpinan stabil di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju negara.

“Kadar inflasi negara yang berada pada tahap 1.4 peratus menunjukkan kos sara hidup masih terkawal. Semua petunjuk ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul. Jadi tumpuan kita adalah bekerja kuat dan kekalkan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang berbaki kurang dua tahun, kekuatan parti dan kesepaduan gabungan adalah kunci utama untuk terus mendapat mandat rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN