KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, situasi yang dihadapi parti itu ketika adalah disebabkan perebutan kuasa apabila Timbalan Presiden mahu menjadi Presiden.
“Apa yang berlaku adalah konflik dalam Bersatu, iaitu isu perebutan kuasa tetapi bukan sebab pengkhianatan kepada rakyat. Isu pemecatan itu adalah perkara biasa.
Cuma kali ini , perpecahan dilihat lebih besar apabila libatkan bekas Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, serta libatkan ramai ahli Parlimen.
“Terengganu ini boleh dikatakan semua bahagian masih lagi bersama dengan Presiden dan parti, kecuali satu bahagian sahaja iaitu Dungun.
”Ketua bahagian tersebut telah dipecat kerana bercanggah dengan peraturan dan kita sedang memantau keadaan di sana, namun setakat ini segalanya dilihat tenang,” dalam sidang akhbar di sini.
Razali berkata, ketika ini ahli Bersatu perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh parti berkenaan.
“Kita tidak perlu berharap kepada bekas pemimpin yang hebat kerana akhirnya hanya berebut kuasa. Kita yang tak ada masalah , teruskan buat kerja macam biasa,” katanya.
Menurut beliau,, Bersatu akan membuat siri penerangan kepada ahlinya berhubung situasi politik parti tersebut dalam masa terdekat. – UTUSAN










