PENDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pendang dibubarkan susulan kepemimpinan dan ahli jawatankuasa (AJK) meletak jawatan, semalam kerana hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan.
Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis berkata, beliau bersama barisan kepimpinan Bersatu bahagian itu dan 49 ketua cawangan berbuat demikian kerana tidak lagi mempunyai sebarang keyakinan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, Muhyiddin bukan sahaja gagal memimpin, tetapi dengan sengaja membawa parti ke arah kehancuran.
“Parti yang saya sertai dan antara kumpulan terawal terlibat dalam penubuhannya kini sudah tidak lagi wujud. Nama mungkin sama, logo mungkin sama tetapi roh perjuangannya telah lama mati.
“Asalnya parti ini lahir daripada idealisme sebab itu Bersatu, Beramanah, Bermaruah dijadikan mottonya tetapi hari ini semua itu tinggal kenangan. Ia kini hidup atas ego seorang Presiden yang bukan sahaja hilang arah, tetapi hilang pedoman serta hidup dalam ketakutan orang di sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Abdul Razak, beliau mengambil keputusan meletak jawatan kerana tidak mahu bersubahat dengan parti yang melakukan pengkhianatan paling besar kerana telah merosakkan nama perjuangan agama dan bangsa yang selama ini dijadikan slogan.
“Perjuangan digunakan sebagai alat mempertahankan kuasa, bukan lagi sebagai amanah kepada rakyat dan bagi saya itu adalah pengkhianatan paling besar, saya tak mahu bersubahat.
“Ada yang tanya kenapa tidak kekal dan perbaiki dari dalam. Jawapannya mudah, apabila struktur rosak dari atas, apabila teguran dianggap musuh, apabila kebenaran dianggap ancaman, tinggal di dalam bukan lagi perjuangan,” katanya.-UTUSAN










