PETALING JAYA: Lebih 1,000 individu daripada golongan memerlukan menerima pek barangan keperluan harian dan angpau sempena Tahun Baharu Cina menerusi program BB Charity Carnival.
Program berkenaan merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan bersama oleh KK Mart Retail Group, BB Charity Society dan Malaysia Chinese Assembly Hall (MCAH).
Pengasas dan Pengarah Urusan KK Mart Retail Group merangkap Presiden MCAH, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, golongan penerima dalam program kali ini terdiri daripada warga emas, ibu atau bapa tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta golongan kurang berkemampuan.
Katanya, fokus utama turut diberikan kepada peserta berusia 55 tahun ke atas.
Beliau berkata, inisiatif itu dianjurkan setiap tahun dengan matlamat yang sama iaitu menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Sebuah bandar yang progresif tidak seharusnya menutup mata terhadap golongan rentan. Sebaliknya, kita perlu hulurkan bantuan serta berjalan seiring dengan mereka demi memastikan kehidupan yang lebih bermaruah.
“Kami menyeru semua pihak agar terus bekerjasama bagi melindungi komuniti rentan serta memastikan jaringan kebajikan masyarakat menjadi lebih mampan dan sistematik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan terus memperluas inisiatif kebajikan dengan melibatkan lebih banyak rakan korporat, organisasi serta orang awam agar nilai keprihatinan bukan sekadar amalan bermusim, sebaliknya menjadi budaya harian dalam masyarakat.
Katanya, program berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada lebih 20 organisasi penaja yang menyumbang barangan keperluan, sumber, sokongan logistik serta perkhidmatan berkaitan.
“Kerjasama pelbagai pihak ini bukan sahaja meluaskan capaian program, malah memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya. – UTUSAN










