Banyak perkara yang berlaku setelah ketiadaanmu - Ibu Ashraf Sinclair

Banyak perkara yang berlaku setelah ketiadaanmu – Ibu Ashraf Sinclair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair, Khadijah Abdul Rahman berkongsi coretan khas buat arwah anaknya itu yang kini genap enam tahun meninggal dunia.

Kata Khadijah, pemergian Allahyarham Ashraf meninggalkan seribu satu kenangan manis buat mereka sekeluarga selain terpaksa menanggung rindu.

“Ashraf sayangku, sudah enam tahun Allah SWT menjemputmu ke rahmatullah, dan yang tinggal buat kami hanyalah kenangan manis tentangmu sejak hari kelahiranmu hingga hari kau pergi meninggalkan kami,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Bagai sayu meluahkan isi hati yang terbuku, wanita itu turut berkongsi segala perubahan yang berlaku sepanjang pemergian Ashraf termasuklah kehidupan terkini menantunya, Bunga Citra Lestari yang sudah kembali berumah tangga.

“Kami menghargai semua kenangan indah itu, namun banyak perkara yang telah berlaku sepanjang ketiadaanmu.

“Noah telah membesar menjadi seorang remaja yang baik, Bunga telah meneruskan kehidupannya, ahli keluarga baharu telah hadir dan ramai insan tersayang juga telah pergi,” kongsinya.

Dalam masa sama, ibunya juga menitipkan doa agar roh Allahyarham Ashraf sentiasa di bawah rahmatNya.

“Daddy dan Umi berada dalam keadaan baik dan tidak pernah berhenti mendoakanmu, Ashraf.

“Kehidupan tetap diteruskan dan dirimu sentiasa di dalam hati kami. Dalam kenangan penuh kasih buat Allahyarham Ashraf,” ujarnya.

Pada 18 Februari 2020, Ashraf dikhabarkan meninggal dunia dalam tidur akibat serangan jantung.

Allahyarham pergi meninggalkan seorang balu yang juga penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) dan seorang anak lelaki, Noah Sinclair.

Namun, BCL berkahwin dengan Tiko Aryawardhana pada 2 Disember 2020 dalam sebuah majlis tertutup di Bali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN