Seringkali kita dengar dan baca di akhbar mahu pun media lain mengenai individu yang tiba-tiba rebah atau pengsan dan paling menyedihkan apabila mereka meninggal dunia sejurus selepas pengsan atau tidak berapa lama kemudian selepas dibawa ke hospital.
Selain lelaki, kejadian meragut nyawa yang lazimnya berpunca daripada serangan jantung turut menimpa golongan wanita. Namun kebanyakan mangsa tidak mengetahui mereka mengalami masalah jantung sebelum ini.
Pakar Perunding Kardiologi Kanan, Datuk Seri Dr. Azhari Rosman berkata, setiap individu perlu peka dengan risiko penyakit jantung dan tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah jantung walaupun mereka berasa sihat.

“Risiko paling tinggi untuk mengalami masalah atau serangan jantung adalah perut buncit. Apabila usia mencecah 50-an, kebanyakan wanita dan lelaki di negara kita dan Asia perut mula buncit.
“Ini berbeza dengan penduduk di negara Arab di mana bahagian punggung biasanya lebih besar.
“Perut buncit adalah petanda bahaya kerana di situlah biasanya lemak akan berkumpul. Lemak yang berkumpul di perut adalah lemak berbahaya dan berisiko menyebabkan masalah jantung dan masalah kesihatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Ubat Obesiti Wegovy® (Semaglutide 2.4mg) (MAL24126014AZ) di Malaysia oleh Nova Nordisk iaitu rawatan tambahan bagi dewasa yang menghidap obesiti dan berat badan berlebihan.
Dr. Azhari berkata, adalah sukar apabila hendak mengurangkan lemak di perut apabila berat badan meningkat. Justeru, sebaiknya jangan biarkan berat badan naik dengan mengawal pengambilan karbohidrat dan gula.
“Kurangkan makan nasi kepada separuh atau suku pinggan saja. Kalau boleh, makan sekali saja nasi dalam sehari. Elakkan karbohidrat lain seperti roti, mee, kuetiau dan sebagainya. Sebaliknya hanya makan lauk seperti ikan, telur, sayur dan buah-buahan saja.
“Mula-mula selepas mengurangkan karbohidrat dan nasi, anda mungkin akan berasa lapar tetapi selepas beberapa lama tubuh akan terasa biasa.
“Kalau makan kenyang sampai ke anak tekak, inilah padahnya apabila berat badan naik dan lemak berkumpul di perut,” katanya.
Katanya lagi, langkah mengurangkan rasa lapar selepas mengurangkan nasi dan karbohidrat lain, lebihkan minum air kosong kerana air juga boleh mengenyangkan atau makan sup bagi mengatasi rasa lapar.
Apabila usia meningkat tahap metabolisme akan menjadi semakin perlahan.
Justeru, mereka yang sudah berusia tidak memerlukan tenaga seperti ketika muda dulu iaitu makan secara berlebihan atau tinggi karbohidrat.
Dr. Azhari berkata, tambahan pula kini, kerja-kerja di rumah juga kini lebih ringan dengan bantuan mesin atau peralatan moden seperti mesin membasuh baju penyedut hampagas untuk membersihkan habuk dan sebagainya.
RISIKO LEBIH TINGGI JIKA OBES
Selain obesiti, wanita juga berdepan risiko dua kali ganda lebih tinggi mengalami serangan jantung sekiranya mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang tidak terkawal.
“Kalau tahu ada risiko seperti berat badan berlebihan dan pada masa sama menghidap penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta menjalani gaya hidup tidak sihat seperti merokok perlu menjalani pemeriksaan jantung.
“Lakukan pemeriksaan jantung jika anda juga merasakan atau mengesyaki mengalami gejala-gejala penyakit jantung. Antara tanda-tanda anda berkemungkinan mengalami masalah jantung adalah mudah penat walaupun menjalankan aktiviti biasa seperti berjalan,” katanya.
Katanya, sekiranya terasa mengah atau terasa semput dan sakit dada walaupun berjalan pada jarak dekat atau ketika menaiki tangga hanya satu tingkat, adalah antara gejala jantung bermasalah.
Kebanyakan kematian di negara ini adalah berpunca daripada penyakit jantung dan kebanyakan mangsa yang meninggal dunia ketika berada di luar, sebenarnya tidak tahu pun mereka mengalami penyakit jantung.
“Justeru, keperluan menjalani pemeriksaan bergantung kepada usia, tahap kesihatan dan gaya hidup. Sekiranya masih sihat dan berusia 30-an, jalani pemeriksaan jantung sekali bagi setiap tahun atau dua tahun sekali.
“Apabila usia meningkat kepada 50-an, jalani pemeriksaan jantung setahun sekali. Pemeriksaan asas seperti kadar gula dalam darah dan tekanan darah tinggi. Anda juga boleh meriksa tekanan darah tinggi di rumah menggunakan mesin elektronik tekanan darah. Buat dua hingga tiga kali untuk melihat perbezaan tekanan,” katanya.
Katanya, tekanan darah normal bagi orang dewasa secara umumnya adalah dalam julat 90/60 mmHg hingga 120/80 mmHg.
Bacaan yang dianggap ideal adalah di bawah 120/80 mmHg.
Tekanan darah yang tinggi (hipertensi) biasanya ditakrifkan apabila bacaan melebihi 140/90 mmHg, manakala tekanan darah rendah (hipotensi) adalah kurang daripada 90/60 mmHg.
Bagaimanapun bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, bacaan tekanan darah perlu di bawah 135/85.
Sekiranya bacaan lebih 140, kemungkinan anda ada tekanan darah tinggi tanpa disedari.
“Bacaan tekanan darah tinggi dan gula dalam darah ini penting tetapi ramai yang tidak tahu dan tidak melihatnya sebagai satu keperluan.
Sekurang-kurangnya jalanilah pemeriksaan tekanan darah tinggi, gula dan kolesterol di farmasi berhampiran.
“Kalau bacaan tinggi, terus berjumpa doktor tetapi tidak semestinya perlu berjumpa pakar jantung.
“Biasanya kadar gula tinggi disebabkan kencing manis perlu dikawal dengan ubat serta mengawal pengambilan gula dalam diet,” katanya.
Katanya lagi, sebaiknya jangan biarkan kadar gula dalam darah tinggi lama tanpa menjalani rawatan kerana ia boleh menjejaskan organ utama seperti jantung, buah pinggang dan kehilangan penglihatan secara senyap.
Petanda utama penyakit jantung adalah sakit dada luar biasa, tidak kira di sebelah kiri, tengah dada atau belakang badan diikuti dengan sesak nafas.
Sakit apabila melakukan aktiviti seperti berjalan atau ketika menaiki tangga. Jika sakit berterusan apabila berhenti melakukan aktiviti fizikal, adalah petanda yang perlu dibimbangkan.
“Bagi mencegah obesiti atau berat badan berlebihan, amalkan gaya hidup sihat selain menjaga pemakanan.
“Pastikan anda aktif secara fizikal dan banyak bergerak. Sekurang-kurangnya, pastikan seminggu sekali anda perlu berjalan kaki untuk jantung sihat,” katanya.-UTUSAN










