TANJUNG MALIM: Tempoh Sukan SEA Malaysia 2027 yang bakal berlangsung 17 bulan lagi bukan alasan bagi atlet negara untuk tidak melakukan persiapan rapi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, persiapan perlu rapi dilakukan untuk memastikan kontinjen negara selaku tuan rumah meraih kutipan pingat lebih tinggi.
“Amat penting untuk atlet melakukan persiapan rapi walaupun Sukan SEA akan diadakan tahun depan. Selain daripada bakat dan kemampuan, komitmen dan disiplin yang tinggi juga penting dalam mencapai kejayaan.
“Apa yang lebih penting adalah ketahanan jati diri dalam diri mereka itu sendiri.
“Dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menekankan pentingnya atlet mempunyai tinggi sahsiah jati dirinya, semangat kenegaraan, semangat patriotisme supaya mereka menyertai sukan ini dengan memenangkan negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Temasya Sukan SEA Malaysia 2027 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, selaku tuan rumah, beliau ingin pasukan negara mendapat kedudukan yang tertinggi melebihi negara-negara bertanding lain.
Menurutnya, apatah lagi kontinjen negara melepasi sasaran pingat yang ditetapkan pada Sukan SEA Thailand 2025 dan kecemerlangan itu akan diteruskan.
“Sudah pasti harapan saya adalah atlet-atlet ini kekalkan semangat, momentum yang tinggi seperti pada Sukan SEA 2025. Atlet merupakan ejen menyatupadukan kaum, bangsa dan agama di negara ini,” katanya. – UTUSAN










