ART tidak jejas kuasa negeri terhadap hasil mineral

ART tidak jejas kuasa negeri terhadap hasil mineral

Syed Ibrahim Syed Noh - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Klausa 5.2.3 di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang memperuntukkan penubuhan mekanisme bersama bagi menilai pelaburan masuk ke dalam negara melibatkan unsur nadir bumi dan mineral kritikal tidak memberi kesan langsung terhadap hasil negeri seperti royalti dan premium tanah.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penetapan klausa tersebut juga tidak menjejaskan kuasa kerajaan negeri terhadap sumber mineral kerana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mineral terletak di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri.

“Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, mineral adalah di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri. Maka, kuasa memberikan milikan tanah, pajakan perlombongan, kebenaran melombong, dan royalti kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Perkara (Klausa) 5.2.3 ini tidak memindahkan kuasa tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dan tidak menjejaskan hak negeri terhadap sumber mineral masing-masing,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Pele Peter Tinggom mengenai implikasi langsung kepada kerajaan negeri sekiranya Perkara 5.2.3 berkenaan mineral kritikal dikuatkuasakan, memandangkan mineral berada di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri dan bukannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Syed Noh berkata, mekanisme yang dicadangkan berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur berkualiti tinggi serta menggalakkan pembangunan pemprosesan dan aktiviti hiliran di dalam negara.

Katanya, langkah itu merupakan komitmen Malaysia dalam memastikan aspek keselamatan pelaburan selaras dengan amalan antarabangsa termasuk kerangka kawalan pelaburan di Australia dan Kesatuan Eropah.

“Tujuannya adalah untuk menilai risiko pengambilalihan atau pelaburan asing yang boleh menjejaskan keselamatan negara, rantaian bekalan strategik atau teknologi sensitif. Ia bukan instrumen untuk mengambil alih kuasa negeri.

“Dari segi penyelarasan dan perkongsian maklumat, sekiranya pelaburan asing dalam sektor mineral kritikal dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, pelaburan itu akan tertakluk kepada semakan tambahan pada peringkat Persekutuan sebelum dimuktamadkan, namun kelulusan pajakan dan lesen perlombongan tetap berada di bawah kuasa negeri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN