SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Pesawat yang membawa Modi tiba pada pukul 4.40 petang tadi dan beliau diberi sambutan Kawalan kehormatan setempat terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat daripada batalion pertama rejimen askar Melayu Diraja diketuai oleh Kapten Mohd. Afiq Aiman Mohd Zulkifli.
Menurut Kementerian Luar, lawatan ini merupakan lawatan balas atas jemputan Anwar susulan lawatan rasmi beliau ke India pada Ogos tahun lalu.
Mengikut jadual, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan sesi bersama komuniti India di The Mines, Seri Kembangan.
Modi kemudiannya akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di Putrajaya esok diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India.
Ini khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian; dan pendidikan.
Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; pengurusan bencana dan perjanjian mengenai penerbitan audio visual.
Ini termasuk Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja; Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor; kesihatan; keselamatan negara; dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilaksanakan dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA),” katanya. – UTUSAN










