Ancaman digital cabaran kepada kedaulatan negara

Ancaman digital cabaran kepada kedaulatan negara

Syed Hamid Albar ketika menjadi panel pada program Keselamatan Negara Sebagai Asas Kedaulatan Dan Kestabilan Negara Bangsa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perubahan dalam landskap keselamatan negara pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan sahaja tetapi berubah dalam bentuk ancaman bukan konvensional.

Kemajuan teknologi digital khususnya media sosial dan AI, mencetuskan cabaran keselamatan baharu yang memberi implikasi besar kepada kedaulatan negara dan kestabilan negara bangsa.

Bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, landskap ancaman keselamatan negara kini telah berubah apabila cabaran utama tidak lagi terhad kepada ancaman fizikal atau ketenteraan semata-mata, sebaliknya semakin dipengaruhi manipulasi maklumat dalam ruang digital.

Menurut beliau, kemajuan teknologi moden membolehkan maklumat palsu dihasilkan, diubah suai dan disebarkan dengan pantas merentasi sempadan tanpa kawalan yang jelas, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa membendung penyebarannya.

Kewujudan propaganda dan maklumat mengelirukan di ruang digital boleh menghakis kestabilan negara dan perpaduan rakyat, terutama dalam masyarakat majmuk yang memerlukan toleransi dan persefahaman berterusan.

“Jika masyarakat hidup terpisah dalam kelompok masing-masing dan mudah dipengaruhi sentimen perkauman atau kebencian, asas negara bangsa boleh terhakis,” katanya ketika berucap dalam program Keselamatan Negara Sebagai Asas Kedaulatan Dan Kestabilan Negara Bangsa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mengulas cabaran yang kian rumit pentingnya kerjasama erat antara agensi keselamatan supaya tidak beroperasi secara terasing. Katanya, koordinasi yang kukuh, sistem perkongsian maklumat yang berkesan serta keputusan secara kolektif amat penting bagi menangani ancaman digital.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan pembangunan modal insan secara berterusan dalam memperkukuh keupayaan keselamatan negara. Katanya, pegawai keselamatan hari ini tidak lagi memadai sekadar memiliki kemahiran operasi, sebaliknya perlu dilengkapi pengetahuan lebih luas merangkumi teknologi, geopolitik, psikologi, termasuk aspek etika dan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, keupayaan teknikal sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong integriti dan kefahaman mendalam terhadap dinamika semasa.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kekuatan sebenar institusi keselamatan bergantung kepada tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat. Tanpa sokongan serta kepercayaan awam, sesebuah institusi boleh menjadi rapuh dari dalam, walaupun memiliki aset dan kepakaran yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pembuat dasar mengamalkan pendekatan yang lebih strategik dan berwawasan dalam merangka dasar keselamatan, bukan sekadar bertindak balas terhadap isu semasa. Prinsip perlu dipertahankan, namun pelaksanaannya harus bersifat realistik dan bijaksana.

“Keselamatan adalah amanah yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Ia tidak seharusnya dijadikan alat untuk kepentingan kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN