PETALING JAYA: Polis menahan ibu kandung tiga kanak-kanak dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis Methadone sehingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Kajang di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu.
Katanya, wanita tersebut telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.
“Ya, saya sahkan kejadian seorang kanak-kanak maut manakala dua lagi sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi adiknya kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis Methadone di di sebuah kediaman di Sungai Ramal Baru di sini.
Menurut sumber, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira pada 9.01 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).
Sumber dilaporkan berkata, pihak hospital memaklumkan menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada 7.50 pagi.
“Malangnya, anak sulung berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia, manakala adik bongsu berusia lima tahun kini ditempatkan di ICU dan seorang lagi di Zon Merah Unit Kecemasan.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian tragis itu dipercayai akibat tindakan ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberikan ubat jenis Methadone kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.
Sumber dilaporkan berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif wanita terbabit bertindak sedemikian dan bagaimana bekalan ubat terkawal itu diperolehi.
“Mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik HTPN untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN









