PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama rapat dengan agensi di United Kingdom, Serious Fraud Office (SFO), dalam siasatan berterusan membabitkan IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM2.5 bilion.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, agensi itu turut menjalankan siasatan sendiri terhadap perkara berkenaan, dengan kedua-dua pihak saling bertukar maklumat.
“Ketika ini, kedua-dua negara dan kedua-dua agensi sedang bekerjasama, dan terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi dari segi pengumpulan bukti.
“Namun, saya tidak fikir ia akan menjadi masalah kerana kedua-dua agensi mempunyai agenda masing-masing dalam menyiasat kes ini.
“Jadi, kerjasama ini perlu memberi manfaat kepada kedua-dua agensi. Buat masa ini, kami berada di peringkat pertukaran maklumat,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan juga bakal mengambil sedikit masa memandangkan ia melibatkan perkara di luar negara.
“Kita ingin mengetahui hasil siasatan tersebut kerana wang yang kita laburkan, kira-kira RM2.5 bilion di United Kingdom, berkemungkinan mempunyai isu tertentu di negara berkenaan dan mungkin melanggar undang-undang anti-pengubahan wang haram mereka.
“Perkara itu saya tidak pasti lagi, namun terdapat siasatan kes jenayah yang sedang berjalan.”
Media sebelum ini melaporkan SPRM kini menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd yang turut seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat yang bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.
Difahamkan, kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara.
Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham.
Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.-UTUSAN










