ALOR SETAR: Seorang pekerja kilang berdepan tali gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhi hukuman mati.
Tertuduh, Amirul Shafiq Shamshul Zahari, 29, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara antara pukul 3.15 pagi hingga 8 pagi, 2 Februari 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfatin Azera Norhisham manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang eksekutif bank berusia 52 tahun ditemukan tidak bernyawa di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim disyaki dibunuh.
Mangsa dijumpai maut dengan tiga kesan tikaman di badan sebelum anak sulungnya ditahan dalam sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dipercayai dalam perjalanan ke Selangor.
Masalah kewangan dan sikap panas baran suspek dipercayai motif pembunuhan. – UTUSAN










