KUALA LUMPUR: “Semoga Allah memberkati anda berdua dunia akhirat.”
Demikian ucapan dikongsikan anak pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam yang tersentuh dengan sokongan dan kebaikan yang diterimanya daripada pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman.
Adrian, 18, memaklumkan sangat bersyukur dan berterima kasih dan berharap kebaikan pasangan itu dibalas Allah.
“Buat abang Fattah dan akak Amira, terima kasih atas sokongan dan kebaikan anda berdua.
“Hanya Allah tahu betapa saya hargainya. Semoga Allah membalas dengan cara yang tidak disangka-sangka,” tulisnya menerusi Instastory.
Amyza dua hari lepas berkongsi berita duka mengenai Adrian yang disahkan menghidap kanser tulang.
Adrian dalam masa yang sama merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut mendoakan agar dia dan abangnya, Andre Mikhail yang juga diuji dengan kanser paru-paru, mendapat kesembuhan.
“Saya tidak tahu bagaimana mahu berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan saya, abang serta seluruh keluarga saya.
“Mereka ini adalah keluarga, kawan-kawan dan juga orang yang kami tidak kenal.
“Hanya Allah tahu betapa bersyukurnya saya. Semoga Allah memberi ganjaran dan memberkati anda semua,” tulisnya lagi.










