JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor telah mengenal pasti sejumlah 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan bagaimanapun berkata, perkara itu tertakluk kepada rundingan akhir bersama parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Johor.
“Pada PRN Johor pada 2022, kami turut merancang untuk bertanding 20 kerusi DUN namun perbincangan akhir menyaksikan kami menyerahkan empat kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“DAP juga menyerahkan dua kerusi kepada Muda pada ketika itu, jadi mungkin kita akan adakan perbincangan sekiranya terdapat pertukaran kerusi sesama kami kelak,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Penyelaras Bagi Dewan Undangan Negeri Johor di Pejabat Amanah Kawasan Pulai, di sini semalam
Ahli Parlimen Sri Gading itu turut memberitahu Amanah Johor telah memasuki mod siap siaga sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN yang dijangka diadakan tahun ini itu.
“Mengambil kira kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan tiada kata putus sama ada BN akan bersama PH atau tidak untuk PRN Melaka dan Johor, serta perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak mustahil akan berlaku tiga atau empat penjuru di Johor.
“Amanah Johor telah mengenal pasti wakil negeri yang selaku Penyelaras DUN bagi membantu Jawatankuasa Kawasan memacu usaha kesiapsiagaan. Semua jentera Amanah, sama ada peringkat negeri, kawasan, sayap wanita (Awan) dan Pemuda akan bersama memastikan kejayaan Amanah Johor dalam PRN,” katanya.-UTUSAN










