KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mengambil pendekatan mengupah tukang masak peribadi bagi memastikan setiap hidangan menepati spesifikasi diet ketat yang sedang diamalkannya.
Langkah itu diambil Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, dalam usaha menjalani proses pembersihan usus atau ‘Gut Reset’ bagi merawat masalah usus longgar (Leaky Gut) yang dialaminya.
Menurut Daiyan, kekangan masa akibat jadual kerja padat menjadi antara faktor utama dia mendapatkan khidmat tukang masak peribadi.
“Saya memang upah tukang masak peribadi sebab tak sempat nak sediakan sendiri. Lagipun, diet ini sangat ketat dan mencabar.
“Bayangkan, saya tidak dibenarkan mengambil sebarang produk tenusu, telur dan gandum serta perlu bebas gluten sepenuhnya.
“Malah, makanan laut dan daging juga dilarang, manakala ayam pula hanya ayam kampung sahaja yang dibolehkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, penyanyi lagu Penat itu mengakui walaupun aktif bersenam dan bersukan, tabiat gemar mengambil makanan diproses akibat kesibukan kerja dipercayai menjadi punca masalah kesihatan yang dialaminya.
“Saya sentiasa mahu cepat, jadi memang tak sempat masak. Mungkin makanan begitu yang menyebabkan ‘Leaky Gut’, di mana bakteria jahat mudah masuk ke dalam usus.
“Apabila saya buat ‘Gut Reset’, maknanya saya benar-benar hanya makan makanan sihat dan ditambah dengan suplemen tertentu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Daiyan tidak menyangka perkongsiannya mengenai diet dan penjagaan kesihatan usus di media sosial mendapat perhatian ramai serta memberi kesedaran kepada pengikutnya.
“Bila saya kongsi tentang ‘Gut Reset’, ramai yang DM (mesej terus) ucap terima kasih sebab beri peringatan. Ada yang kata mereka alami simptom sama dan mula jaga pemakanan.
“Ada juga yang baru berusia 28 tahun sudah ada kesedaran itu. Maknanya, orang sekarang tak tunggu sampai tua baru nak jaga makan. Mereka boleh mula perlahan-lahan. Jadi bila orang DM begitu, sekurang-kurangnya ia sesuatu yang baik,” ujarnya. -UTUSAN










