AKPS perlukan 400 pegawai penyiasat, bantu keperluan penguatkuasaan

AKPS perlukan 400 pegawai penyiasat, bantu keperluan penguatkuasaan

Mohd Shuhaily Mohd Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memerlukan sekitar 400 pegawai penyiasat bagi menyokong keperluan operasi dan penguatkuasaannya di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, buat masa ini, pihaknya hanya mempunyai empat pegawai penyiasat yang kini berperanan menasihati dalam aspek undang-undang.

Katanya, beliau memerlukan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek siasatan, operasi dan pendakwaan bagi meningkatkan kecekapan pegawai penyiasat agensi itu.

Pada masa sama, kata beliau, skim perkhidmatan dan perjawatan dalam AKPS dijangka dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini sekali gus membuka laluan kepada pengukuhan operasi kawalan sempadan negara.

“Buat masa ini, skim perkhidmatan dan perjawatan berada pada peringkat akhir penelitian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kelulusan.

“AKPS memerlukan 13,721 perjawatan atau pegawai bagi melancarkan operasi sekali gus memastikan pintu masuk yang diwartakan sentiasa selamat,” katanya ketika berucap pada majlis amanat tahun baharu AKPS di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, keputusan AKPS meletakkan Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal
sebagai Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang sebagai langkah tepat selepas beberapa kejayaan dicapai termasuk membongkar kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram.

Mohd Shuhaily berkata AKPS bersama beherapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PDRM dan Jabatan Alam Sekitar akan mempertingkatkan usaha mengesan kegiatan haram di pintu masuk negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN