KUBANG PASU: Dua lagi lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, suspek berusia 51 dan 58 tahun itu diberkas di sekitar Bukit Kayu Hitam, malam tadi.
“Pihak polis maklumkan kepada saya bahawa dua nama ini ditimbulkan oleh Komander AKPS Bukit Kayu Hitam sendiri yang merasakan untuk beberapa tempoh kebelakangan ini dia terasa seperti diekori kedua-dua individu ini.
“Beliau gambarkan personaliti orang berkenaan macam mana dan pihak polis profilkan yang akhirnya dikenal pasti sebagai dua warga tempatan yang juga tinggal di kawasan sekitar ini,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Saifuddin melakukan lawatan ke Pintu Masuk AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Kelmarin, polis memberkas tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan ke arah kenderaan dipandu Mohd. Nasaruddin.
Saifuddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain untuk meningkatkan kawalan kepada pegawai-pegawai yang berpotensi menjasi sasaran oleh mana-mana pihak.
“Perinciannya saya serahkan kepada beliau apa bentuk langkah kawalan yang saya minta ditingkatkan itu boleh dilakukan kerana sudah ada piawaian tertentu ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai keselamatan di sempadan, Saifuddin berkata, kerajaan akan memperketat kawalan di semua pintu masuk negara susulan perubahan geopolitik serantau yang semakin dinamik dan berpotensi mengundang pelbagai ancaman keselamatan.
Katanya, perkongsian maklumat secara menyeluruh antara tentera, polis, imigresen dan kastam perlu dilakukan tanpa masing-masing bergerak sendiri terutamanya melibatkan kawalan keselamatan di sempadan.
“Malaysia mahu mengekalkan keamanan yang dikecapi ketika ini iaitu berada pada kedudukan ke-13 daripada 165 negara dalam Indeks Keamanan Global,” katanya. – MINGGUAN










