KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menerima permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan itu difailkan oleh Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dengan menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden, minggu lalu.
Hisyam berkata, pihak pembelaan mengambil langkah berkenaan selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes membabitkan Presiden UMNO itu.
“Kami membuat permohonan pada 28 Januari dan diterima oleh AGC dua hari kemudian.
“Memandangkan anak guam telah diberi perintah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, maka tidak adil sekiranya pertuduhan itu masih tergantung,” katanya ketika ditemui selepas prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad mengesahkan permohonan tersebut.
“Pihak kami menerima permohonan itu pada 30 Januari dan mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” katanya.
Mahkamah menetapkan 24 Februari ini bagi pendengaran permohonan itu.
Pada 8 Januari lalu, AGC memutuskan NFA terhadap Ahmad Zahid susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas pertuduhan itu. – UTUSAN










