Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN tanda perubahan zaman politik Malaysia

Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN tanda perubahan zaman politik Malaysia

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemuda Pas menyifatkan pelantikan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu sebagai tanda perubahan zaman politik negara ini.

Pengarah Pilihan Rayanya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, selama lebih 20 tahun politik Malaysia berlegar sekitar nama-nama besar generasi lama serta berkisar kepada konflik personaliti dan sejarah silam.

“Pelantikan Dr. Sam (Ahmad Samsuri) membawa satu mesej jelas, Malaysia sedang masuk fasa kepemimpinan generasi baharu. Bukan lagi politik dendam lama, bukan lagi politik siapa kawan siapa musuh sejak 1998 tetapi politik penyelesaian,” katanya hari ini.

Mesyuarat Luar Biasa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN semalam sebulat suara bersetuju menamakan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan.

Perkara itu dinyatakan keempat-empat presiden parti dalam gabungan tersebut iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden MIPP, P. Punithan.

Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, bagi mereka yang rapat dengan Ahmad Samsuri mengetahui bahawa pendekatan Menteri Besar Terengganu itu adalah lebih kepada rundingan.

“Dalam banyak mesyuarat, beliau jarang buat keputusan tergesa-gesa. Beliau akan dengar semua pihak dahulu. Kadangkala lama. Ada orang gelisah sebab nak keputusan cepat.

“Tetapi itulah gaya beliau. Politik matang dan sejahtera yang bukan hanya slogan, tetapi cara bekerja. Bagi Dr. Sam, politik bukan medan bertekak. Politik adalah proses mencari titik persetujuan.

“Sebab itu beliau tidak gemar politik panas media sosial. Beliau lebih percaya perbincangan bersemuka daripada konfrontasi terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×