Agrobank lancar dua kempen deposit di Kota Kinabalu

Agrobank lancar dua kempen deposit di Kota Kinabalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Agrobank melancarkan dua kempen deposit peringkat kebangsaan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran kempen itu yang menyasarkan penyertaan masyarakat umum serta golongan kanak-kanak dan remaja, disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Kedua-dua kempen ini bertujuan menggalakkan amalan menabung secara berdisiplin dalam kalangan pelanggan sedia ada dan baharu, di samping memupuk tabiat simpanan yang konsisten sejak usia muda.

Kempen yang dilancarkan adalah Mega Million 3.0: “Heng Heng Lai” bermula dari 15 Februari hingga 15 Mac ini dan satu lagi ialah Kempen Generasi Muda bermula dari 15 Februari lalu hingga 15 Februari tahun depan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kempen-kempen tersebut mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong agenda literasi kewangan negara.

“Kempen Generasi Muda menyokong objektif Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 (NS2.0) dengan menggalakkan amalan menabung secara berstruktur dan konsisten dari usia yang muda.

“Pada masa yang sama, kempen Heng Heng Lai memupuk disiplin simpanan dalam kalangan pelanggan dewasa. Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan isi rumah yang lebih berdaya tahan selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.

Foong Hin pula berkata, inisiatif seperti itu mampu memberi impak positif khususnya kepada masyarakat di Sabah dalam memperkukuh kestabilan kewangan keluarga.

“Galakan untuk menabung secara konsisten, terutamanya di kalangan generasi muda di Sabah, merupakan langkah penting ke arah memperkukuh daya tahan kewangan komuniti.

“Inisiatif sebegini memberi ruang kepada keluarga di Sabah untuk lebih aktif menyertai sistem kewangan formal dan merancang masa depan dengan lebih yakin,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN