PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan kekuatan pertahanan merupakan tunjang utama dalam mempertahankan kedaulatan sesebuah negara.
Baginda bertitah, angkatan tentera yang berwibawa, berdisiplin serta sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menjadi benteng ampuh dalam memelihara kemerdekaan, keselamatan dan maruah negara secara berterusan.
Menurut baginda, angkatan tentera bukan sekadar simbol kekuatan bersenjata, sebaliknya benteng terakhir negara yang dibangunkan melalui pengurusan sumber manusia yang cekap, pemilikan aset pertahanan mantap, strategi yang tuntas serta doktrin yang sentiasa relevan dengan dinamika geopolitik global.
“Malaysia mempunyai kedudukan geografi yang strategik yang memberi kelebihan signifikan dalam memperkukuh peranan negara di peringkat serantau.
“Namun, kelebihan ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi khususnya dalam pengurusan keselamatan sempadan darat, laut dan udara agar sentiasa terkawal dan terpelihara,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Iftar bersama warga Markas Pemerintahan Armada Timur (MAWILLA) 2 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan, Sabah, semalam.
Baginda bertitah, budaya serta ikatan kekeluargaan masyarakat di kawasan sempadan menjadi asas penting kepada kerjasama dan keharmonian serantau.
“Aspek kawalan dan penguatkuasaan yang berkesan perlu terus diperkasa bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin.
“Beta menzahirkan harapan agar seluruh warga MAWILLA 2 terus memperkukuh keimanan serta istiqamah dalam menyempurnakan ibadah sepanjang Ramadan, di samping memelihara ukhuwah demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” titah baginda.
Majlis Iftar tersebut diadakan bersempena Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah (EKS PERBAH) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 26 Februari hingga 1 Mac ini.
Penganjuran program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Negeri Perlis dan warga TLDM, khususnya warga MAWILLA 2 serta anak kapal KD Kelantan yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, selain menyemarakkan keberkatan Ramadan.
Program berkenaan turut mencerminkan sokongan moral berterusan kepada pasukan keselamatan yang bertugas di Pantai Timur Sabah dalam memastikan keamanan dan kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara. – UTUSAN










