Agong mahu pegawai rasuah ditukar serta-merta - Utusan Malaysia

Agong mahu pegawai rasuah ditukar serta-merta

SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa ramai individu kini berada dalam radar baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Baginda turut memberi amaran akan memerangi rasuah tanpa mengira sesiapa termasuklah membabitkan agensi penguatkuasaan utama negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Titah baginda lagi, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” titah baginda seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO), hari ini.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan bahawa baginda mempunyai risikannya tersendiri dalam memantau aktiviti rasuah membabitkan jabatan dan agensi kerajaan.

“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi “orang tengah” selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’.

“Bah kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang.

Baginda bertitah, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.

Kenyataan Sultan Ibrahim itu hadir ketika pelbagai pihak membangkitkan rasa tidak senang terhadap isu rasuah di negara termasuk melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkaitan pemilikan sahamnya seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg, baru-baru ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN