KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin memfailkan permohonan supaya lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Permohonan itu dibuat melalui peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad sewaktu pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Berdasarkan dokumen afidavit sokongan yang diperoleh, Shamsul Iskandar, 51, mengemukakan beberapa alasan berkaitan permohonan itu antaranya adalah lebih sesuai, adil dan wajar untuk kes itu didengar di Mahkamah Tinggi walaupun Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perbicaraan.
Selain itu, katanya, kesan keseluruhan pemakaian tiga seksyen itu dalam satu prosiding jenayah adalah isu undang-undang baharu yang belum pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah.
Tiga seksyen tersebut ialah Seksyen 17(a), 19(1) dan 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang turut didakwa sebagai bertentangan dengan Fasal 5(1), 8(1) dan 121(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Perbicaraan terhadap saya akan melibatkan persoalan-persoalan undang-undang dan isu-isu yang kompleks seperti pemakaian akta SPRM bagi kes-kes melibatkan sumbangan politik, pentafsiran istilah-istilah undang-undang yang teknikal dan perhubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi.
“Saya juga telah dinasihati oleh peguam, sekiranya perbicaraan berjalan di Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak akan mendapat peluang untuk merayu ke mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata, pendakwaan terhadap dirinya juga telah menarik perhatian masyarakat umum dan mendapat liputan media yang meluas di dalam dan luar negara.
“Saya percaya kes melibatkan kepentingan awam perlu dijalankan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan autoritatif.
“Saya juga percaya permohonan ini tidak akan menyebabkan sebarang prejudis kepada pihak pendakwaan bahkan sekiranya dibenarkan akan membawa faedah kepada semua pihak terlibat,” katanya.
Permohonan itu difailkan pada 4 Februari lalu dan tarikh pendengaran ditetapkan pada 9 April ini di Mahkamah Tinggi.
Pada 4 Disember tahun lalu, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM176,000 yang didakwa bertujuan meluluskan lesen penerokaan mineral berapa buah syarikat milik seorang ahli perniagaan di Sabah.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Disember pula, dia didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang RM64,924 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing bagi tujuan pembayaran sewa rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.-UTUSAN










