KULIM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anggota polis, Jumaat lalu.
Tertuduh, Nur Aini Mohd. Noor, 32, yang merupakan peniaga turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu merosakkan cermin pintu kaunter aduan sebuah balai polis dan berkelakuan tidak senonoh.
Dia membuat pengakuan bersalah sebaik semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah, namun tidak mengakui fakta kes bahawa dia menumbuk anggota polis.
Mengikut pertuduhan, Nur Aini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal Muhammad Irfan Md. Shukri di kaunter aduan Balai Polis Sungai Kob, di sini kira-kira pukul 3.30 petang, Jumaat lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Wanita itu juga didakwa berkelakuan tidak senonoh di lokasi dan masa sama dengan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama iaitu hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nur Aini berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menyebabkan kerugian kepada harta milik Balai Polis Sungai Kob iaitu kerosakan cermin pintu kaunter aduan pada pukul 3.45 petang, hari sama.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam, Kiren Ram.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Tarikh 30 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula kes termasuk bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.-UTUSAN










