Adik Hawa bertarung nyawa di ICU, ibu bapa terpaksa pulang

Adik Hawa bertarung nyawa di ICU, ibu bapa terpaksa pulang

Mohamad Haziq Mohd Rusli ayah kepada Helena Mohamad Haziq ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), di sini hari ini selepas menjalani pembedahan hati di China.-UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Selepas disuruh pulang, setiap hari kami hanya menunggu gambar dan video yang dihantar. Itulah satu-satunya cara untuk tahu keadaan anak.”

Demikian luahan Nur Rahmatina Hajidah Norisyam, 24, ibu kepada Hawa Maisarah Mohamed Abdul Muiz yang terpaksa berpisah dengan anak kecilnya selama dua minggu demi menjimatkan kos menjalani pembedahan pemindahan hati anaknya di China.

Menurutnya, Hawa disahkan menghidap penyakit masalah hati dan pankreas ketika berusia lima bulan, selepas dirinya menyedari perubahan fizikal pada anaknya itu.

“Awal-awal memang tak percaya dia sakit. Hawa nampak macam budak lain, cuma perut dia makin membesar dan mata jadi kuning. Bila doktor cadangkan buat LT (pemindahan hati), masa itu baru kami faham keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan KLIA 1, di sini, hari ini.

Hawa yang berasal dari Kelantan kemudian dirujuk ke Hospital Tunku Azizah bagi mendapatkan pengesahan lanjut sama ada perlu menjalani pemindahan hati.

Bagaimanapun, keluarga itu dimaklumkan mengenai tempoh menunggu serta risiko pembedahan, selain keadaan Hawa ketika itu yang tidak menunjukkan peningkatan berat badan dan kesihatan yang memberangsangkan.

“Kalau tunggu giliran, akan ambil masa agak lama. Jadi saya bincang dengan suami dan ambil keputusan untuk cuba rawatan di luar negara walaupun tahu kosnya tinggi,” katanya.

Dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, Hawa menjalani dua pembedahan besar melibatkan pemindahan hati di Renji Hospital, China pada 6 Januari lalu.

Namun ujian tidak terhenti di situ apabila Hawa mengalami kebocoran pada pankreas selepas pembedahan dan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Dalam keadaan itu, doktor menasihatkan ibu bapanya pulang ke Malaysia bagi mengurangkan kos memandangkan akses lawatan ke ICU amat terhad.

“Memang berat hati nak tinggalkan dia. Tapi kalau duduk sana pun, kami hanya boleh jumpa sekejap sahaja. Jadi kami balik dan luangkan masa dengan anak sulung yang berusia enam tahun,” katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka hanya bergantung kepada kemas kini harian daripada pihak Nadi Permata yang menjadi penghubung dengan doktor di China.

“Setiap hari tunggu gambar dan video. Itu sahaja cara kami lepaskan rindu dan tahu perkembangan dia,” katanya.

Selepas dipantau rapi, bacaan fungsi hati Hawa akhirnya kembali normal dan kebocoran pankreas disahkan pulih sepenuhnya oleh pasukan perubatan.

Kini, Hawa bersama dua lagi pesakit kanak-kanak lain yang menjalani pemindahan hati di China disahkan stabil dan dibenarkan pulang ke Malaysia untuk rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Cabaran paling besar sekarang soal kos ubat dan rawatan susulan. Tapi kami bersyukur, sekurang-kurangnya Hawa diberi peluang untuk hidup,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN